Fitri Haris Nekad Kembali
Kredit Foto : Along Exist

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah ungkapan yang sesuai dilontarkan buat penyanyi bernama Fitri Haris; juara Gema Gegar Vaganza Musim Kedua baru-baru ini.

Mengakui mengalami kejutan budaya dan kepadatan jadual usai program tersebut, rezeki penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini nampaknya mencurah-curah meskipun umum mengetahui, beliau juga kini dalam proses penulisan akhir tesis bagi melengkapkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran di University of Nottingham, UK dalam bidang Musicology (Islamic Music).

HANYA TUHAN YANG TAHU 2018

Terbaharu, Fitri Haris atau pemilik nama Mohamad Fitri bin Haris melancarkan single terbarunya yang berjudul Hanya Tuhan yang Tahu 2018.

Membawakan kembali lagu yang cukup sinonim dengan dirinya ketika masih bersama kumpulan nasyid UNIC, Fitri memberitahu kehadiran HTYT 2018 kali ini merupakan lagu perkenalan beliau untuk kembali aktif dalam industri hiburan.

Ditemui ketika majlis pelancaran HTYT 2018 dan perlantikan Duta Haqqi di Shah Alam, Fitri tidak menafikan kemungkinan ada peminat atau pendengar baharu yang akan membandingankan HTYT terdahulu dan versi terkini.

Tak nafikan akan ada orang yang akan membandingkan kerana lagu ini ada aura dan kenangan tersendiri, namun versi kali ini tetap menjanjikan mood dan cara penyampaian yang baharu,” ujar Fitri kepada media.

Komposer asal HTYT, Isman Hijjaz ketika sesi media turut menyakini lagu ini akan menjadi siulan dan ada kekuatan sendiri.

Pernah menjadi fenomena sekitar tahun 2002, selain pernah menggondol Anugerah Nasyid Pilihan bagi Anugerah Era 2001, Fitri memberitahu lagu yang berusia 16 tahun ini hanya memakan masa selama tiga hingga empat hari sahaja untuk rakaman semula. Selain itu, beliau juga menjanjikan akan menerbitkan tiga lagi single baharu pada tahun ini yang antaranya mendapat sentuhan emas Awi Rafael dan Encik Mimpi.

Hanya Tuhan Yang Tahu 2018 mendapat sentuhan Along Exist, Ujang Exist dan Wan Salleh. Video lirik pula ditaja sepenuhnya oleh Tedy Rox Film, manakala rekaan grafik dan komuniksi kreatif diinspirasikan oleh MHK Communications.

LANTIKAN SEBAGAI DUTA HAQQI

Label Haqqi dilihat sinonim dengan penyanyi yang juga pengasas kumpulan UNIC ini sejak penglibatan beliau dalam Gema Gegar Vaganza musim kedua. Memandang serius potensi yang boleh dijalinkan, Haqqi yang menjadi penaja utama busana Fitri sepanjang GGVV berbesar hati melantik Fitri sebagai duta produk mereka, selepas pelakon Ariel Zafrel dan Wawa Zainal.

Bertanyakan tentang perancangan untuk melancarkan busana bawah label sendiri, Fitri menjawab, “Saya sudah lama berhajat untuk mengeluarkan baju sendiri, saya impikan pakaian yang boleh digayakan untuk bidang pendidikan dan nyanyian kerana saya terlibat dalam kedua-dua bidang ini. Saya impikan busana yang mengetengahkan elemen formal dan informal yang seiring.

Butik Haqqi merupakan hasil kerjasama bersama Koperasi Tabung Haji yang menjual barang keperluan haji dan umrah selain busana patuh syariah dengan harga mampu milik.

Mengikat kontrak selama setahun, Fitri juga mengumumkan bakal terbang ke United Kingdom hari ini bagi menjayakan sesi penggambaran program Open Mic Hadis. Haqqi turut menaja busana Fitri sepanjang menjayakan program bawah Astro Oasis ini termasuklah beberapa program beliau di pentas dan kaca televisyen.

Dalam perkembangan lain, Fitri bersama Haqqi juga dalam perancangan untuk mengadakan road tour di seluruh Malaysia bagi mempromosikan jenama Haqqi dan tiga lagi single terbaharunya kelak.

Tutor di Universiti Utara Malaysia ini juga akan tampil serius dengan projek dakwah teddybear yang diberi nama Pelangi Pelanga selain penulisan buku.-SoofiMedia

Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here