Bersempena dengan kedatangan Ramadan tahun ini yang sudah memasuki hari kelima hari ini, pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang memperbanyakkan ibadah sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan ini.

Menitikberatkan elemen kreatif dalam dakwah dan seni, pelantun lagu Garis Takdir; Mohamad Fitri bin Haris atau mesra dikenali sebagai Fitri Haris melalui kelabnya iaitu Fitri’s Family turut melancarkan Fitri’s Family Tadarus al-Quran 1.0 yang telah pun bermula pada 1 Ramadan lepas. Program tadarus Al-Quran ini bakal berlangsung sehingga 15 Ramadan depan.

Berkonsepkan secara berkumpulan, Nurdiyana Tun Ibrahim atau Deena yang bertindak sebagai Koordinator ketika dihubungi baru-baru ini memberitahu inisiatif ini diadakan sebagai salah satu pengisian bersama keluarga besar Fitri Haris sepanjang Ramadan, selain bertujuan merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli Fitri’s Family tanpa mengira pangkat dan usia.

“InsyaAllah majlis khatam Al-Quran dan berbuka bersama secara kecil-kecilan akan diadakan kelak,” beritahu Deena.

Fitri’s Family kini berjaya mengumpulkan kumpulan peminat dan penyokong penyanyi berusia 33 tahun ini daripada seluruh Malaysia termasuk Singapura melalui kewujudan tiga grup di laman sosial ‘WhatsApp’.

Menggunakan nama rasmi sebagai Fitri’s Family Aisyah, Fitri’s Family Zinirah dan Fitri’s Family Balqis, pastinya kemudahan teknologi ini menjadi salah satu medan komunikasi Fitri bersama keluarga besarnya.

Terdahulu, Fitri yang kini menuntut di University of Nottingham melancarkan kelab rasminya yang dikenali sebagai Fitri’s Family semasa penganjuran Fitri’s Family Gathering & Mini Showcase di UKM, Bangi, April lepas.

Fitri sebelum ini ada menyuarakan hasratnya untuk memastikan kelab ini kelak dapat bergerak aktif secara sendiri tanpa penglibatannya selain mahu menitipkan elemen berbentuk kebajikan dalam setiap program yang dirancang.

Bagi yang berminat untuk mengikut maklumat lanjut mengenai program yang julung-julung kali diadakan ini atau mahu menjadi sebahagian daripada keluarga besar Fitri Haris, layari @fitrisfamiliyofficial atau @fitriharisofficial di laman Facebook / Instsgram untuk sebarang pertanyaan.

Loading Facebook Comments ...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here