Setelah dinobat sebagai juara Gema Gegar Vaganza (GGV) baru-baru ini, kumpulan trio UNIC semakin cemerlang mencipta sisi kejayaan mereka sekali gus membuktikan kebolehan dan kebolehpasaran mereka bukan sahaja dalam industri nasyid sebaliknya dunia mainstream.

“Alhamdulillah, lepas menang GGV, kami terbitkan remix single Ainul Mardhiah yang pernah terbit pada tahun 2002. Tak sangka walaupun lagu ini lama, masih ada yang belum mendengarnya. Hasilnya, kami dapat peminat dan pendengar baharu. Lepas GGV, UNIC memang terima ramai peminat baru.”

Perkara ini terbukti apabila single tersebut memperoleh capaian satu juta tontotan selepas hanya dua minggu berada di YouTube selain menjadi trending no satu selama tiga minggu di Youtube bahkan mencipta rekod pertama lagu nasyid yang berjaya mencapai trending tersebut.

“Alhamdulillah, ini semua aura GGV dan kerja keras UNIC. Kami juga sudah menubuhkan kelab peminat baharu iaitu FamiliUNIC selain menjadi berpeluang menjadi penyampai di UNIC Radio bersama Raku di bawah kelolaan Astro,” ujar Fakhrul ketika dihubungi SoofiMedia baru-baru ini.

Menyentuh mengenai perkembangan lain kumpulan ini, Fakhrul juga memberitahu UNIC di bawah syarikat penerbitannya UNICDOTMYPRO masih beroperasi dalam menerbitkan album.

Walau bagaimanapun, fokus mereka kini lebih menjurus kepada album projek yang bukan sahaja melibatkan kumpulan tersebut, sebaliknya artis lain seperti pendatang nasyid baharu, ustaz selebriti dan sebagainya.

Nasyid Kena Smart

“Tak dinafikan ada yang mempersoalkan kenapa UNIC sudah tidak lagi memakai kopiah. Kami masih memakainya. Cuma kami tidak tunjukkan.”

“Kami korbankan sedikit imej islamik untuk tarik anak muda contohnya dalam fesyen. Anak muda hari ini sukakan fesyen. Fesyen menjadi idola mereka. Contohnya segelintir mereka yang sukakan K-Pop. Jadi kami cuba bawa imej baharu dengan cap.”

Nasyid UNIC Recording
Kredit Foto : Fakhrul UNIC

“Perkara sebegini sebenarnya tak menjadi isu selagi tidak melanggar syariat. Insya-Allah, kami tahu batas-batasnya. Kita lihat contoh Raihan yang pernah keluar daripada kepompong nasyid lama dengan menghasilkan lagu yang tidak sekadar menggunakan kompang. Nasyid kena smart, kena berubah. Nasyid perlu versatile.”

Tidak Mudah Melatah

Dikecam dan ditohmah gara-gara imej dan pembawaan kumpulan yang dilihat tersasar daripada penampilan artis nasyid, UNIC dilihat tidak mudah melatah.

“Kecaman boleh berlaku kerana itu pendapat masing-masing. Namun, bagi UNIC sudah tiba masanya kami gunakan cara dan pendekatan yang lain untuk sampaikan muzik nasyid. Sekarang sudah tahun 2017, sudah terlalu lama nasyid berada dengan konsep yang sama.”

“Sebagi contoh, UNIC yang sudah bertapak dalam industri selama 15 tahun dalam industri tidak nafikan ‘crowds’ kami masih berlegar di tempat yang sama seperti masjid, maahad tahfiz, sekolah agama, IPT, majlis keagamaan dan sebagainya. Sudah tiba masanya nasyid keluar daripada ruang lingkup peminat lama. Kita mahukan pendengar baharu. Namun pendengar yang lama kita tidak pernah kami tinggal. Cuma peminat baharu kita raikan.”

Aura Caprice Dalam SEDAR

Terbaharu, selepas tiga bulan single Ainul Mardhiah mencipta fenomena industri hiburan, kumpulan yang dianggotai oleh tiga vokalis berbakat ini bakal menerbitkan pula single terbaharu mereka yang berjudul SEDAR.

Menariknya, Sedar bakal menyaksikan gandingan UNIC bersama-sama rapper Caprice. Mempertaruhkan sentuhan lagu dan lirik daripada Omar K dan Ikhwan Fatana, Fakhrul mengakui lagu ini merupakan taruhan berani mereka kerana menerbitkan lagu yang tidak berbunyi nasyid, mempunyai double meaning dan menepati cita rasa pendengar muda sekarang.

Menjanjikan kelainan yang sangat ketara bukan sahaja kerana melodi atau lirik yang berbeza, antara keistimewaan lain single tersebut ialah kewujudan elemen rap melalui penampilan ikon laman sosial; Caprice.

“Rap beliau juga unik, beliau bukan raper jadian. Pemilihan Caprice sebagai gandingan duet UNIC adalah kebetulan dan rezeki.”

“Kami harapkan pemilihan ini tepat dan diterima ramai kerana adanya aura Caprice juga semoga ia diterima peminat bukan sahaja pendengar nasyid tetapi ramai pendengar baharu daripada pelbagai lapisan.”

“Kami juga harapkan lagu ini dapat bersaing dengan sihat dengan lagu lain.” Sedar membawa mesej mengenai kehilangan orang yang tersayang dan amat penting dalam hidup seperti ibu bapa, keluarga, kawan dan sebagainya.

Loading Facebook Comments ...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here