Lagu yang dihasilkan dari inspirasi kehidupan seseorang sentiasa memberi kesan dalam jiwa. Kisah suka atau duka pasti meruntun hati dan membuatkan kita ingin mendengarnya berulang kali. Tetapi lagu ini terinspirasi dari kisah benar kegagalan hubungan rumahtangga.

SELAMAT TINGGAL, sebuah nukilan puitis oleh ahli Caravan of Praise, Syech Radzi tentang kisah sahabat beliau sekitar tahun 2000. Tentang seorang sahabat yang terpaksa melepaskan isteri tercintanya kerana perseteruan antara dua keluarga. Si sahabat ini sangat mencintai isterinya, dan selalu memuja dan mengenang kebaikan serta masa-masa indah yang dilalui bersama, tetapi oleh kerana ketaatan pada kedua orang tua demi kebahagiaan keluarga mereka memilih untuk berpisah.

Lagu ini disampaikan dengan sempurna oleh Azhar Hilmi, peserta program Pencetus Ummah dan pengacara program Hadith Open Mic, Astro. Majlis pelancaran dan pra dengar telah disempurnakan di Talent Lounge Damansara Perdana dan disempurnakan oleh Pengurus Besar Sony Music Malaysia, Hermond Cheng.

Azhar Hilmi dalam sesi soal jawab, mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Syech Radzi kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk merakamkan lagu ini.

“Walaupun lirik lagu ini berkisarkan tentang perpisahan suami isteri, tetapi apa yang lebih menarik minat saya dan menjadi fokus adalah tentang redha. Jodoh adalah ketentuan Allah dan mentaati ibubapa juga tuntuan Allah. Itu yang membuatkan saya yakin dengan lagu ini,” jelas beliau.

Selamat Tinggal Azhar Hilmi

Ini merupakan single kedua oleh Azhar Hilmi selepas lagu Segalanya Untukmu ciptaan Bazli UNIC tahun 2014. Sebahagian daripada hasil jualan lagu Selamat Tinggal edaran Sony Music Malaysia ini akan disalurkan ke tabung kemanusiaan Syria Care Malaysia.

PROFIL AZHAR HILMI

Azhar Hilmi lahir pada 25 Jun 1992 di Hospital Sik, Kedah. Anak kedua daripada 8 adik-beradik pasangan bahagia Mohamad Fadzil Husin dan Wan Norma Wan Salim. Beliau menerima pendidikan terawalnya di Tadika An-Nur, Klang. Meneruskan persekolahan di Sekolah Agama Daris Sungai Petani dan Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin, kemudian di Maahad At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah (MATRI), Perlis.

Disinilah beliau mula menyerlahkan bakat nyanyian dan kepimpinan beliau. Kemudian beliau meneruskan pengajian di Darul Quran Kuala Kubu Bharu sehingga tahun 2013 dan kini beliau melanjutkan pengajian beliau di Universiti Utara Malaysia, cawangan Kuala Lumpur dan bidang Industri Kreatif.

Pada Oktober 2015, Azhar Hilmi telah terpilih untuk menyertai program realiti Pencetus Ummah yang bersiaran di Astro Oasis. Kerjaya beliau sebagai pengacara diteruskan setelah terpilih untuk mengacara program Hadith Open Mic, Astro.

Loading Facebook Comments ...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here