Trending
Trending

Elemen Hiburan, Dakwah Dalam Nasyid Didik Jiwa Insan

Story Highlights
  • Jualan album Raihan cecah jutaan unit
  • Kemunculan kumpulan Rabbani dan Hijjaz
  • Festival Nasyid Kebangsaan pertama tahun 1989
  • Penerbitan program Nasyid Minggu Ini (NMI)

Genre nasyid kontemporari mula meledak sekitar 1997, ketika Kumpulan Raihan melancarkan album Puji-pujian di pasaran perdana.

Keberanian Raihan benar-benar membuka mata banyak pihak terhadap keunikan muzik nasyid yang menjadikan nilai Islam dan adab sebagai mesej dikongsi bersama masyarakat.

Lihat sahaja angka jualan album itu mencecah jutaan unit. Selepas itu lahir kumpulan nasyid seperti Rabbani dan Hijjaz membentuk nuansa muzik nasyid sebagai pelantar perjuangan dakwah mereka.

Aliran muzik nasyid di negara ini melalui episod agak panjang. Pada peringkat awal, ia terkesan dengan pengaruh irama padang pasir atau Asia Barat.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak terkecuali turut mengambil langkah strategik menyemarakkan gema nasyid melalui penganjuran Festival Nasyid Kebangsaan sejak 1989.

Melalui kerjasama beberapa agensi persekutuan dan negeri termasuk Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Festival Nasyid Kebangsaan bertahan lebih 20 tahun.

Ustaz Mohamad Zarifi bin Hj. Mohamad Daud

Selain itu, pada peringkat negara serantau, JAKIM pernah mempelopori Festival Nasyid Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

Penyiaran JAKIM selaku pembekal kandungan rancangan agama di saluran RTM, pernah satu ketika menerbitkan rancangan Nasyid Minggu Ini (NMI) berbentuk carta nasyid popular di televisyen, selain Anugerah Nasyid Minggu Ini.

Langkah ini diambil untuk mengiktiraf karya penggiat nasyid tanah air. Mutakhir ini, rancangan Tazkiyah berbentuk tazkirah refleksi berselang-seli dengan alunan nasyid diterbitkan sebagai usaha mempelbagaikan pendekatan dakwah kepada penonton.

Radio Salamfm dikendalikan JAKIM sejak 2009 turut menyiarkan lagu dakwah di samping mempromosikan barisan penggiat nasyid, termasuk komposer dan penulis lirik.

Peranan ini memperlengkapkan usaha sedia dimainkan stesen radio tempatan.

Benar seperti ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-bakri, nasyid ialah cabang kesenian Islam dan instrumen dakwah berkesan khususnya kepada generasi muda.

Hakikatnya, al-quran meletakkan asas dakwah, iaitu hikmah, misi nasihat dan dialog interaksi santun.

Firman Allah SWT:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-nahl: 125)

Syed Qutub dalam Tafsir Fi Zilalil Quran menjelaskan ayat ini menjadi petunjuk penting kepada gerak kerja menyantuni masyarakat melalui usaha dakwah.

Dakwah biarlah mendekatkan, bukan menjarakkan. Secara ringkasnya, usaha dakwah perlu digerakkan melalui pendekatan penerangan jelas, berperingkat dan bertahap, mudah difahami, mendekatkan, diterangkan sebab di sebalik suruhan dan tegahan serta bersesuaian dengan konteks sasaran.

Nasyid dan kesenian mempunyai daya tarikan tersendiri dalam menyampaikan mesej pendidikan, kerohanian serta keharmonian.

Tidak boleh disangkal lagi, nasyid juga menjadi wahana memenuhi fitrah manusia berhibur. Melodi, lirik dan persembahan bergabung sebagai satu pakej memupuk jiwa keinsanan.

Justeru, penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 tepat pada masanya untuk melonjakkan semula karya nasyid di pasaran tempatan dan global.

Semoga ANAM 2020 menjadi pencetus semangat kepada pengkarya menghasilkan lagu nasyid bermutu tinggi daripada aspek susunan melodi, muzik, penulisan lirik serta penghasilan video muzik nasyid.

Pembabitan generasi muda kreatif amat diharapkan agar naskhah nasyid dapat kekal relevan sepanjang zaman, sekali gus berupaya meniup semangat anak remaja bukan sahaja di universiti bahkan pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah untuk terbabit dalam kegiatan kokurikulum melalui aktiviti nasyid.

Gabungan kumpulan pakar daripada tokoh agamawan, ahli akademik, ahli psikologi, aktivis masyarakat bersama penggiat nasyid perlu diaktifkan agar kajian serta penyelidikan semasa dapat dilaksanakan ke arah pembangunan produk nasyid benar-benar terpandu dengan prinsip agama, nilai serta memenuhi keperluan jiwa masyarakat.

Pihak industri nasyid disaran agar terus duduk semeja dengan agensi kerajaan dan swasta untuk merangka pelan strategik jangka panjang menjadikan nasyid sebagai produk Malaysia berupaya membawa impak kepada sektor ekonomi negara seperti industri pelancongan dan pasaran halal.

Pihak penyiaran TV dan Radio juga perlu turut sama memakmurkan irama nasyid dengan pendekatan kreatif dan objektif.

Adunan elemen hiburan mendidik jiwa dan meletakkan penjadualan waktu siaran lebih kompetetif akan memantapkan kualiti capaian kandungan rancangan dalam membangunkan modal insan.

Tentunya aspirasi besar direncanakan ini memerlukan daya juang dan kecekalan pemain industri nasyid sendiri. Program halaqah refleksi sesama ahli keluarga besar nasyid perlu dioptimumkan sebaik mungkin.

Nasihat dan pengisian jiwa melalui halaqah terbabit akan meneguhkan kekuatan kerohanian, selain memperkasa personaliti akhlak penyanyi dan kumpulan nasyid sebagai pendakwah serta pembimbing.

Semua pihak perlu bermuafakat. Itulah uniknya nasyid. Ia adalah irama, pada masa sama, ia juga dakwah.

Artikel :
Ustaz Mohamad Zarifi bin Hj. Mohamad Daud
Penolong Pengarah Kanan,
Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Source
Berita Harian Online

The Waleed

I want to write an online bio, but I can't describe myself!

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button