Hiburan

Enam Tahun Menyepi, Mizie Kamis Pertaruh “Ada Kamu”

Selepas enam tahun menyepi, penyanyi yang juga seorang guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Lahad Datu, Mizie Kamis kembali memberanikan diri dengan taruhan single baharunya yang diberi judul Ada Kamu.

Lebih istimewa, buah tangan yang dihasilkan sepenuhnya olehnya di samping sentuhan pemuzik dari Indonesia ini sebenarnya sudah disimpan lama iaitu sekitar enam tahun lalu.

“Lagu dan lirik yang dihasilkan telah lama siap, muzik pun ambil masa agak lama cuma memerlukan masa yang sesuai hampir satu tahun untuk release,” kongsi Mizie.

Ajak dan Mahu Hargai Wanita, Isteri

Tanpa segan memberitahu pernah menghasilkan lagu yang mengangkat tema yang sama iaitu isteri sekitar tahun 2012, Mizie Kamis atau juga dikenali sebagai MK walau bagaimanapun akui Temani Aku kurang mendapat sambutan ketika itu.

Namun beliau yakin karya kali ini jauh berbeza meskipun tampil sekali lagi sebagai dedikasi penuh buat wanita yang bergelar isteri. Tanpa berselindung, beliau juga akui mengharapkan penerimaan yang lebih baik daripada pendengar dan peminat.

Mizi Kamis Ada Kamu

“Secara khusus lagu ini memang saya hendak hargai isteri dan umumya kepada semua isteri berjasa di luar sana yang memberi semangat kepada suami. Lagu ini juga khas buat wanita yang belum bergelar isteri,” ujarnya.

“Sebagai suami kita perlu hargai isteri. Mereka bukan sekadar jadi peneman semata-mata bahkan jadi penunjuk, pendorong dan tulang belakang. Mudahan lagu yang release ini dapat beri inspirasi dan peminat dapat terima dan dapat melayaninya bersama keluarga,” tambahnya lagi yang juga menganggap konsep lagu dan melodi naskhah kali ini agak berbeza dan ada pembaharuan.

Menyentuh tentang asam garam atau ujian yang mungkin dihadapi suami isteri sementelah musim pandemik, Mizie yang diwawancara secara dalam talian semasa acara pra pelancaran single anjuran Inteam Digital sebelum ini menitipkan pesan, “Dalam pandemik banyak dugaan yang dilalui dan dugaan itu juga berbeza bagi setiap pasangan tetapi tujuannya satu. Allah nak duga dan lihat kesabaran kita, lihat kematangan kita dalam mengharungi liku kehidupan.”

Hasil tinjauan SoofiMedia, berikut beberapa maklum balas positif yang ditinggalkan pendengar di ruangan komen saluran YouTube.

“Lagu ceria tapi boleh membuai hati sampai jadi sedih. Tahniah Mizie, Melodi sangat tajam untuk buai kami.” Medan Dakwah

“Dah lama tak dengar lagu nasyid macam ini. Huwaa. Best.” Yaz Laahhh

“Masya-Allah, liriknya sangat menyentuh. Salam dari Indonesia.” Azyan Hidayati

Video muzik Ada Kamu boleh ditonton di saluran YouTube Inteam Digital yang bertindak selaku penerbit digital. Tambah menarik, muzik video yang berdurasi empat minit tersebut turut menampilkan isteri dan anak sulungnya sendiri, Udhya. Untuk makluman, kadar tontonan terkini yang direkod ialah sebanyak 17 ribu manakala tanda suka yang diperoleh pula ialah sebanyak 1.2 ribu.

Ada Kamu telah dilancarkan pada 26 Februari lalu dan boleh didapati di kesemua plaftorm digital seperti Spotify, KKBOX, Joox dan Deezer.

Terdahulu, anak kelahiran Kedah ini pernah bersama kumpulan Zahran iaitu bermula tahun 2006 sehingga 2010 sebelum mengambil keputusan untuk bergerak solo sehingga sekarang. Mizie pernah melancarkan album sulung berjudul Di Suatu Masa (2012) dan tampil dengan album kedua iaitu Kini’15 pada 2015.

Ikuti perkembangan beliau menerusi Faceboook: Mizie Kamis, Instagram: @miziekamisofficial dan YouTube: MK CHANNEL- SoofiMedia

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button