Hiburan

Hasilkan Single Sarah Suhairi, Isman Hijjaz Impi Satu Malaysia Berzikir

Bakal mempertaruhkan sebuah lagu berkonsepkan zikir moden dan turut menyelitkan unsur pop dan rock, Kau Yang Bertakhta dijangka bakal mencetuskan satu lagi fenomena baharu dalam industri muzik dan nasyid tanah air.

Menjadi single pertama berbentuk ketuhanan nyanyian penyanyi terkenal, Sarah Suhairi, selaku komposer Isman Nadim yakin dan berharap lagu ini akan mendapat jumlah tontonan yang terbaik.

Impi Satu Malaysia Berzikir

Tidak menidakkan keberadaan dan pembawaan Sarah Suhairi yang lebih dikenali sebagai artis yang sering membawakan lagu-lagu K-Pop, lagu cinta dan pop dalam kalangan peminatnya, namun single terbaharu ini dikatakan ternyata ada kelainannya.

“Lagu ini berbentuk pop dakwah dan sesuai dengan anak muda. Saya harap tontonannya kelak akan mencapai berpuluh juta dan peminat beliau dari seluruh Malaysia dan Asian termasuk juga di Korea dapat menerimanya dengan baik.”

Isman Hijjaz & Sarah Suhairi

“Ada bahagian lirik yang diulang-ulang. Maknanya secara tak langsung orang atau pendengar akan berzikir dan satu Malaysia akan berzikir dengan lagu ini. Insya-Allah!” Ujarnya bersemangat ketika dihubungi wakil SoofiMedia baru-baru ini.

“Setakat ini proses rakaman dah siap, tunggu release saja,” ujarnya berkongsi tentang perkembangan terbaharu single ini.

Kau Yang Bertakhta yang mendapat sentuhan lirik daripada Ustaz Mohamad Izzat (UMI) dan Isman Nadim dijangka akan menemui peminat sebelum Ramadan tahun ini.

Sarah Suhairi Pandai Menyedapkan Lagu Orang

Mengulas mengenai pengalaman bekerjasama dengan penyanyi yang tidak asing ini, Isman memberitahu, “Beliau memiliki suara yang sedap dan senang bekerja dengannya. Lebih penting, dia bukan saja pandai menyanyi tetapi pandai menyedapkan lagu orang.”

Sarah Suhairi
Sarah Suhairi

Terdahulu Isman yang juga anggota kumpulan nasyid lagenda, Hijjaz pernah terlibat sebagai komposer lagu berbentuk zikir iaitu Hanya Pada-Mu nyanyian Ainan Tasnim. Lagu tersebut juga pernah hits dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Kita Mahukan Cendawan Kekal, Bukan Cendawan Tumbuh

Sengaja mengusik persoalan tentang kecenderungan dan kepentingan artis-artis baharu yang mula mencari karyawan atau otai yang boleh menghidupkan semula lagu mereka, Isman tidak menidakkan.

“Segelintir lagu hanya mampu bertahan atau popular sekejap sahaja tetapi apabila menggunakan khidmat otai atau komposer otai, ia ibarat satu kekuatan.”

“Tak dinafikan penyanyi baharu memang menyanyi dengan baik cuma mereka juga perlukan karya yang baik,” tambahnya yang merasakan tidak perlu berfikir sehingga memerah otak ketika mencari lirik atau lagu untuk mendapatkan karya yang kekal malar hijau.

“Biar spontan dari hati. Kekuatan lagu selalunya lagi lama. Lagu ibarat cendawan tumbuh, akan diambil dan akan hilang. Bermakna ia tidak kekal. Yang kita mahukan sekarang ialah bukan cendawan tumbuh sebaliknya cendawan kekal. Maksudnya ialah padanan lirik dan lagu yang baik di samping penyampaian yang mengesani pendengar,” ujarnya sebelum mengakhiri wawancara.

SINOPSIS LAGU “KAU YANG BERTAKHTA”

Lirik (Rangkap 1)

Getar hati
Tika desiran nama-Mu berlalu
Gelora jiwa
Seakan bayu menghembus lembut
Ke jantungku

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal (8:2):

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ

 وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

“Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”

Lirik (Rangkap 2)

Luahan rindu
Pada warkah cinta-Mu

Dalam kitab al-Tibyan Fi Adabil Hamlatil Quran, Imam Nawawi menyebut bahawa sekalian para safussoleh menganggap al-Quran merupakan warkah istimewa daripada Allah. Mereka dapat merasai sedang berbicara dengan Allah ketika membaca al-Quran.

Lirik (Sambungan rangkap 2)

Indahnya rasa
Saat berdua

Firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil (73:2):

قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا

“Bangunlah solat Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat).”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya bangun dan bermunajat pada waktu malam adalah amalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, kerana waktu itu Allah bersama hamba-Nya untuk mendengar rintihan setiap hamba. Bahkan Allah SWT berkata, “Barang siapa yang meminta kepada-Ku akan Kuperkenankan, barang siapa yang memohon kepada-Ku akan Aku makbulkan permintaannya dan barang siapa yang mengharapkan pengampunan daripada-Ku akan Aku ampunkan dosa-dosanya.”

Seorang ulama tabi’i iaitu Ibrahim Ibn Qawas dalam satu nukilannya menyebut, “Satu daripada lima perkara bagi seseorang Mukmin merawat hati mereka adalah melalui qiamullail.”

Lirik (Sambungan rangkap 2)

Walau berkali
Lafazku tak jemu
Hati tenang
Mengingati-Mu

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d (13:28):

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

“(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Empat perkara, siapa yang memperolehinya, dia telah mendapat segala kebaikan dunia dan akhirat. Lisan yang berzikir, hati yang bersyukur, bersabar apabila badannya diuji dengan sakit dan isteri yang taat pada Allah bukan kerana hartanya.”

Lirik (Rangkap 3)

Subhanallah, Maha Suci Allah
Alhamdulillah, puji pada Allah
Allahu Akhbar, Allah yang Maha Besar

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang membaca Subhanallah selepas menunaikan solat 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akhbar 33 kali dan menutupnya dengan lailahaillallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulk walahul hamd, wahuwa ala kulli syaiin qadir, Allah SWT akan mengampunkan dosanya walau sebanyak buih di lautan.”

Lirik (Rangkap 4)

Kaulah segala
Yang bertakhta
Aku hamba-Mu
Ya Allah

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf (7:172):

أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا

“Bukankah Aku Tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
12
+1
1
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button