Hiburan

Rabithah & Fitri Haris Bawa Mesej Kesihatan Mental Dalam Dalil Cinta

Kejayaan menduduki tangga tiga teratas dalam kategori Artis Nasyid Pilihan pada malam kemuncak Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM) baru-baru ini tidak menjadikan kumpulan ini selesa sebaliknya Rabithah yang pernah popular dengan lagu Jalan Keluar terus beraksi dengan buah tangan terbaharu.

Menariknya single yang dilancarkan pada 1 Januari 2021 ini mempertaruhkan gandingan Rabithah bersama juara Gema Gegar Vaganza musim kedua, Dr. Fitri Haris.

Selain muzik video yang sudah sohor kini (trending) di kedudukan 40 menerusi platform YouTube meskipun baru empat hari dilancarkan, sebuah filem pendek berjudul  ‘PRESENT’ yang diadaptasi daripada lagu tersebut juga boleh ditonton di laman YouTube Tarbiah Sentap Official.

Dalil Cinta menyaksikan kumpulan yang dianggotai oleh empat orang anak muda ini nekad memilih isu kesihatan mental yang kian membelenggu masyarakat dunia. Hal ini sekali gus menjadikan karya taruhan terbaharu mereka membawa kelainan dari sudut pembawaan tema jika dibandingkan dengan karya-karya terdahulu yang lebih banyak mengutarakan isu remaja.

Harapan di Sebalik Lagu

Mengulas lanjut berkaitan mesej yang cuba diutarakan menerusi Dalil Cinta, Dr. Fitri Haris berkongsi kebimbangannya terhadap trend peningkatan masalah kesihatan mental negara yang agak membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apatah lagi isu berkenaan masih dianggap tabu oleh sebilangan masyarakat.

“Sejak krisis pandemik COVID-19, kita boleh lihat semakin ramai golongan belia dan remaja menzahirkan gejala-gejala permasalahan ini di media sosial tanpa mereka sedari. Amat menyedihkan apabila respons yang mereka terima daripada masyarakat boleh dikatakan amat negatif dan langsung tidak membantu,” jelas Fitri yang turut memberitahu situasi berkenaan mendorongnya dan Rabithah mengetengahkan isu berkenaan.

“Diharapkan lirik yang kami nyanyikan ini mampu memberikan sedikit sinar harapan buat mereka untuk memulakan tahun baharu 2021.” Dr. Fitri Haris

Tambahnya lagi, pengalaman menghadapi jatuh bangun dalam industri menjadikan karya ciptaan Akmal Mustafa dan penulis lirik muda, Hasif Sazali tersebut sebagai karya yang amat dekat di hatinya.

Rabitah Puas Hati, Bangga

“Berjaya ada dalam top 3 pun sudah cukup membanggakan buat kami lebih-lebih lagi apabila dapat tahu jarak undian antara kami dan kumpulan Inteam tidak terlalu jauh,” ulas wakil Rabithah ketika ditanya mengenai keputusan Anugerah Nasyid Malaysia baru-baru ini. Mereka turut berpuas hati dengan kemenangan Inteam yang merangkul trofi Artis Nasyid Pilihan.

“Pada kami, ini sendiri satu petunjuk bahawa golongan artis nasyid muda dan baharu yang ada dalam industri nasyid mampu untuk berdiri bersama dengan artis-artis nasyid hebat seperti mereka.”

Terdahulu, Rabithah dan juga Fitri Haris pernah bekerjasama menerusi lagu ‘Hatiku’ (Ice Cream versi dakwah) nyanyian asal Blackpink dan Selena Gomez. Gandingan pertama tersebut berjaya menggemparkan dunia hiburan malah turut mendapat liputan pelbagai media tempatan dan antarabangsa sehingga hari ini.

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button