Hiburan

“Teristimewa” Himpun Suka Duka Citrawi

Ketika pelbagai lagi tema atau mesej dakwah yang boleh diketengahkan, namun kumpulan baharu yang menggelarkan diri sebagai Citrawi yakin single berjudul Teristimewa membawa makna yang besar seiring dengan penampilan sulung mereka sebagai anak seni.

Bangkitkan Rasa Rindu Tanpa Tempoh

Teristimewa menceritakan tentang kerinduan yang tidak berbelah bahagi kepada junjungan Nabi SAW meski tidak pernah bersua mata apatah lagi terpisah dengan sempadan jarak yang beribu tahun dengan kewafatan Baginda.

“Selalunya kita hanya mendengar lagu berkaitan Rasulullah ketika sambutan Maulidurrasul. Namun untuk mengungkapkan rasa rindu itu rasanya tidak perlu tempoh tertentu tetapi perlu diungkapkan pada bila-bila masa sahaja,” jelas Aqim, salah seorang anggota Citrawi ketika dihubungi Soofi.

Tambahnya juga, kemunculan single ini diharapkan sedikit sebanyak dapat mengajak pendengar untuk mengenang kembali sejarah, akhlak dan perjuangan Baginda SAW sekali gus membangkitkan rasa rindu kepada Baginda selain dapat kembali mencintai sunnah dan selawat.

Nekad Berjuang Meski Kehilangan

Siapa yang menyangka di sebalik kegembiraan dan kejayaan menghasilkan buah tangan pertama, terselit kisah duka yang turut dialami. Belum pun sempat bertapak dengan lebih jauh, dimaklumkan salah seorang ahli kumpulan ini iaitu  Muhammad Hatrat Bakhtiar telah pergi untuk selama-lamanya pada 6 Januari yang lepas. Arwah, 34 tahun yang disahkan meninggal dunia akibat asma merupakan ketua kumpulan Citrawi.

Tidak menafikan turut merasa kehilangan, namun ahli-ahli sedia ada nekad untuk terus berjuang.

Allahyarham Mohd Hazrat bin Bakhtiar
Allahyarham Mohd Hazrat bin Bakhtiar

“Kehilangan sahabat selaku ketua kumpulan membuatkan kami ingin terus berusaha dengan lebih serius dan memberi komitmen yang lebih lagi. Perjuangan kumpulan akan tetap diteruskan demi merealisasikan impian kami bersama untuk melihat kumpulan Citrawi melangkah lebih jauh dalam industri nasyid seiring zaman teknologi.”

“Kami tidak ingin mengecewakan usaha beliau yang bersungguh-sungguh menubuhkan dan menjayakan Citrawi selama ini,” kongsi Aqim, tenang.

Belum pun sempat bertanyakan tentang kemungkinan ada penambahan anggota baharu, Citrawi tidak berselindung memaklumkan akan bergerak dengan seorang lagi ahli baharu.

“Pemilihan ahli baharu ini diharapkan dapat memantapkan lagi pembabitan Citrawi dalam industri nasyid. Pelbagai perkongsian pengalaman dalam bidang nyanyian dan industri dapat diperolehi bersama, insya-Allah.”

Sebagai pendatang dan juga pengkarya baharu dalam industri nasyid, Citrawi turut berharap mendapat sokongan dan dukungan daripada para pendengar juga peminat bagi memastikan kelangsungan karier dan dakwah mereka yang masih baharu.

Tapi Allah Lebih Menyayanginya”

“Hanya mendengar cerita tentang insan hebat ini tapi rasa rindu itu hadir. Hebatnya Rasulullah. Walau sudah beribu tahun Baginda wafat, kisah dan akhlaknya masih mengundang rindu ummatnya,” beritahu Huzaimi Zaini pula yang bertindak sebagai penulis lirik ketika berkongsi tentang Teristimewa.

Beliau yang juga bertindak sebagai penerbit turut berkongsi, “Pada tahun 2018, arwah pernah hubungi saya dan bertanyakan anggaran kos untuk terbitkan single nasyid. Nak direzekikan Allah, pada Ogos 2020, arwah hubungi saya semula dan dipermudah segala urusan sehinggalah siap muzik video. Nama kumpulan ini pun baru dipilih apabila projek single ini bermula.”

“Arwah sangat teruja apabila dapat tahu single ini akan rilis di platform Inteam Digital. Beliau sangat bersemangat untuk menjadikan nasyid sebagai lapangannya dalam bidang seni. Beliau sangat berpandangan jauh juga positif tapi Allah lebih menyayanginya,” luah komposer dan penyanyi kumpulan Nowseeheart ini yang juga mengharapkan single Teristimewa dapat dikongsi dan diterima baik oleh pendengar supaya menjadi asbab pahala dan kebaikan buat arwah.

Citrawi dianggotai oleh Nik Muhammad Zaidan Abd Latif, 34, seorang penjawat awam, Nik Muhammad Aqim Mohd Zaki, 30, imam dan seorang lagi ahli baharu yang dikenali sebagai Rais Nordin.

MTV Teristimewa yang dilancarkan pada 15 Januari lalu boleh ditonton di Youtube Inteam Digital. Sebarang perkembangan kumpulan ini boleh diikuti di platform FB: Citrawi Group, IG: citrawi_official dan YouTube: CITRAWI Studios.

SoofiMedia merakamkan ucapan takziah kepada Citrawi atas kehilangan rakan perjuangan mereka dan juga mendoakan mudahan langkah kumpulan baharu ini dipandu Allah, diberkati di samping terus aktif menghasilkan karya yang berkualiti dan mengesankan jiwa. Insya-Allah! – Soofi

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
6
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button