Hiburan

Terpaksa Tangguh Muzik Video Infiniti, The Truth Tetap Raikan Penyokong

“Kami nak hargai jasa Trvthfam yang tak pernah putus menyokong Infiniti sejak tarikh lagu ini diumumkan. Tak sanggup rasanya nak biarkan peminat terus ternanti-nanti.” Begitulah luahan Irwan Fariz, salah seorang vokalis The Truth saat berkongsi tentang single terbaharu mereka, Infiniti.

Menurutnya, pada asalnya klip video rasmi single tersebut dijadualkan untuk dilancarkan pada hari yang sama, namun duo muda ini akur dengan garis panduan yang telah diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengekang penularan pandemik COVID 19.

Tidak mahu mengecewakan peminat, buah tangan mereka dipersembahkan kepada peminat dalam bentuk video animasi ringkas sebagai ganti. Menariknya, video animasi hasil sentuhan Azeem Razali ini menampilkan watak-watak pelantun  The Truth yang cuba menyampaikan maksud di sebalik lagu yang didendangkan.

INFINITI NAUFAL THE TRUTH

Menurut Naufal Isa pula, pengumuman lockdown diterima ketika mereka berada di fasa akhir rakaman di studio. Walaupun terkesan dengan pengumuman tersebut, rakaman Infiniti tetap berjaya disempurnakan beberapa hari sebelum pelaksanaan lockdown mula berkuatkuasa di seluruh negara.

“Cabaran terbesar release lagu waktu lockdown ini adalah dari segi penggambaran muzik video itu sendiri kerana perlu melibatkan pelbagai pihak dan proses penggambaran di luar,” tambah Naufal yang walau bagaimanapun turut bersyukur kerana segala kerja pasca-penerbitan dan promosi Infiniti dapat dilaksanakan dari rumah dengan baik oleh tim produksi walaupun berada dalam fasa ‘lockdown’.

Istimewa untuk Infiniti, Tarbiah Sentap Records selaku penerbit memaklumkan akan menerbitkan tiga versi video dan salah satunya adalah video animasi ringan yang sudah dilancarkan baru-baru ini.

Sahabat Sehingga Syurga

Mengetengahkan naskhah yang berkonsepkan hubungan abadi sesama manusia, Akmal Mustafa selaku komposer memberitahu setiap orang mungkin memiliki kawan yang sentiasa mengingatkannya tentang akhirat. Namun kewujudan mereka dilihat semakin tandus dan janggal apatah lagi akhir zaman ini.

INFINITI IRWAN THE TRUTH 2

“INFINITI melambangkan satu konsep yang tiada had. Dalam konteks lagu ini, ia merujuk kepada hubungan persahabatan yang berkekalan hingga akhirat. Sebagai Muslim kita mempercayai kewujudan akhirat yang kekal abadi. Begitu jugalah hendaknya persahabatan yang terjalin antara orang beriman, didasari matlamat untuk kekal hingga syurga,” tambahnya lagi.

Tampil Versatil, Lebih Bertenaga

Bertanyakan kelainan single kali ini, The Truth yakin tampil dengan lebih bertenaga dan upbeat  walaupun masih memilih pop rock sebagai genre utama. Dengan pemilihan vokal yang lebih tinggi dan bersesuaian dengan mood lagu yang lebih bertenaga, Infiniti dilihat menyerlahkan sisi berani dua anak muda ini agar tampil lebih versatil.

“Besar harapan kami agar lagu ini dapat diterima baik oleh seluruh masyarakat bahkan menjadi lagu anthem sebuah persahabatan yang didasari keimanan.”

Dalam perkembangan lain, The Truth tidak menolak sekiranya ada peluang untuk berkolaborasi bersama artis lain dari dalam dan luar negara.

“Buat masa ni masih belum ada perancangan untuk bergerak secara solo. Cuma andai ada antara kami ingin menerbitkan single sendiri atau berkolaborasi dengan artis dari pelbagai negara pun tak ada masalah.

“Pintu kami sentiasa terbuka. Selagi karya menerapkan nilai-nilai positif dan syariah compliance, tidak ada halangan untuk berkerjasama. Peminat tidak perlu risau kerana The Truth tetap masih ada.”

Infiniti versi animasi boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Tarbiah Sentap. Single ini  juga boleh didapati di semua platform digital seperti Joox, Spotify dan Apple Music.

Sejak dilancarkan pada 25 Jun baru-baru ini,  video ini sudah menerima 11 ribu tanda suka (LIKE) selain menduduki tangga ke-26 sohor kini #trending di YouTube.- SOOFI

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
12
+1
2
+1
8
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button