Hiburan

“This Is Nasyid” Bakal Jadi “Benchmark” Baharu Industri Muzik Malaysia

Hampir 18 tahun berkecimpung dan aktif bergelar penggiat nasyid, Mohamad Fitri Bin Mohamad Haris atau Dr. Fitri Haris kini hadir memberi sesuatu yang baharu kepada industri nasyid itu sendiri. Memiliki Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Musikologi (Muzik Islam) dari University of Nottingham, United Kingdom, kini beliau  mengorak langkah dengan menfokuskan kepada sumbangan legasi ilmu.

Terbaharu, pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini telah dipertanggungjawabkan dalam mengkaji muzik nasyid di Malaysia melalui Dana Kandungan Digital yang ditawarkan oleh kerajaan iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM).

Jangan Keliru Lagi Tentang Nasyid

Memfokuskan kepada beberapa kekeliruan yang sering dihadapi orang awam apatah lagi penggiat nasyid sendiri, hasil kajian yang dilakukan selama tiga bulan namun hakikatnya menjalani pemerhatian hampir lima tahun ini akan mengupas tentang nasyid dalam konteks musikologi bahkan didokumentasi secara akademik sebagai rujukan dan garis panduan yang boleh dimanfaatkan ramai kelak.

Persoalan dan kemusykilan asas seperti maksud sebenar nasyid, identiti penasyid, beza nasyid dan lagu ketuhanan dan elemen-elemen yang diperlukan bagi meletakkan sesuatu muzik atau lanskap muzik sebagai nasyid diperincikan secara ilmiah.

Selain itu, juara Gema Gegar Vaganza musim ke-2 ini turut membincangkan dapatan kajiannya berkaitan kesuraman nasyid, letak duduk penyanyi nasyid wanita dan banyak lagi perbahasan menarik yang berkaitan yang telah dikongsikan dalam sidang media khas yang diadakan secara tertutup di ibu negara, Selasa lepas.

Menurut beliau, hasil penemuan kajian yang diusahakan ini dirasakan sangat penting supaya para penggiat industri muzik Malaysia dapat memahami terma dan elemen yang betul dalam meletakkan sesuatu muzik itu pada segmen yang sepatutnya.

Bukan Cakap-Cakap Kedai Kopi

Sementara itu, Muhammad Razin Che Mud, Presiden Munsyid Malaysia turut memuji dan menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Dr. Fitri dan pihak UUM atas usaha dan komitmennya yang dilakukan.

“Dengan adanya kajian sebegini, kita cuba menzahirkan satu perspektif baharu yang boleh dikongsikan kepada masyarakat tentang takrifan nasyid sekali gus boleh dibincangkan dalam pentas akademik secara lebih khusus dan terperinci. Tujuannya supaya pemahaman itu sampai kepada masyarakat dan lebih penting kepada pemain industri itu sendiri.”

“Saya kira kajian sebegini merupakan satu langkah pertama untuk mendokumentasikan pencapaian, dapatan dan apa-apa sahaja yang ditemui berkaitan nasyid sebab sebelum ini banyak pendapat, takrifan, pandangan yang diperolehi namun hanya bersifat cakap-cakap kedai kopi atau melalui perbincangan tidak rasmi,” kongsi Razin yang turut berharap agar ada kajian lain yang menyusul sekali gus dapat memperlihatkan bahawa nasyid bukanlah medium hiburan secara soleh semata-mata tetapi juga boleh diambil manfaat dalam sudut akademik dan ilmu.

Bermula Dari Sifar

“Cabaran paling besar adalah apabila hendak meyakinkan kajian kepada non-Muslim atau komuniti non-Muslim. Terma-terma syariat, dakwah dan nasyid itu sendiri menjadi persoalan kepada mereka.”

“Saya juga tidak boleh meletakkan diri sebagai orang yang berpengalaman. Sebaliknya perlu bermula dari sifar, baru hasil kajian keluar begini,” ujarnya ketika mengimbau pengalaman berhadapan dengan penyelia PhD-nya yang juga non-Muslim selain mengatakan memakan masa setahun untuk memastikan penulisan kajiannya tidak cenderung kepada mana-mana pihak.

“Ketika sesi dapatan, ada juga yang sukar terima kerana ada pandangan tersendiri tapi kita hendak wujudkan legasi ilmu dan selaraskan supaya orang faham. Orang lain mungkin berjuang dari sudut lagu, saya dari sudut ilmu,” beritahu Dr Fitri yang juga berhasrat untuk memperkasakan modulnya dengan mengadakan bengkel penyelarasan kefahaman secara tour di seluruh negara.

Dalam menyebarluaskan modul bernama “This Is Nasyid”, Dr. Fitri juga akan membentangkan hasil kajiannya yang melibatkan hampir 45 respondens daripada pelbagai segmen industri seperti media, wakil penyanyi nasyid, wakil penyanyi biasa dan lain-lain ini melalui tayangan video. Video lima episod tersebut akan mula disiarkan di platform YouTube rasminya pada 18 hb Disember ini.

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Dr. Fitri Haris (@fitriharisofficial)

Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Negeri Sembilan ini juga memaklumkan buku yang berkaitan kajiannya yang diyakini dapat menjadi rujukan utama kepada sekolah rendah, menengah, IPT dan orang perseorangan turut akan dilancarkan pada 21 Januari tahun hadapan.

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
1
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button