Hiburan

Tidak Hilang, Areef Masih Ada Dengan ‘Bulan Menghilang’

Lama tidak mendengar khabarnya, namun muncul pula dengan lagu baharu berjudul Bulan Menghilang. Ibarat luahan perasaan namun selaku pencipta dan pelantunnya, Areef menidakkan bahawa ia ditulis mewakili dirinya.

Bulan Menghilang menceritakan tentang sebuah luahan perasaan seseorang apabila orang yang diharapkan akan terus kekal setia bersama akhirnya pergi meninggalkan kita.”

“Tiada spesifik siapakah individu dalam lagu ini. Terpulang kepada pendengar untuk meletakkan siapa di posisi “bulan” tersebut. Tapi akhirnya hanya Allah juga tempat kita bergantung secara abadi,” ujar Areef berkongsi tentang single baharunya yang dirasakan sangat istimewa baginya.

Beliau berpuas hati lantaran dapat mengawal 100% kualiti penerbitan termasuk mesej yang disuarakan, genre dan stail rakaman vokal.

“Erti kata lain, saya dapat tonjolkan konsep lagu yang saya sendiri betul-betul minat.”

“Saya menganggap diri sebagai seorang ‘singer-songwriter’. Pada saya, ruang kebebasan kreatif perlu diberikan kepada seorang penulis lagu supaya dia dapat sampaikan sendiri ketelusan seni yang dimahukan,” kongsinya lagi yang turut mengharapkan buah tangan kali ini akan menjadi titik mula dirinya untuk kembali berkarya menyebarkan mesej-mesej dakwah secara puitis dan estetik dengan stail sendiri.

Areef - Bulan Menghilang

Mula mencipta nama menerusi lagu Cinta Halal , Areef juga memaklumkan bahawa penerbitan lagu baharu kali ini menyaksikan kerjasama sulungnya bersama seorang pemain gitar luar negara dari Tennesse, US iaitu Nicky V.

“Kami berhubung secara dalam talian sahaja dan alhamdulillah segala urusan dipermudahkan-Nya.”

Bukan Menghilang

Sengaja mengusik mengenai kemunculan karya baharu selain aktiviti seninya, Areef akui dirinya memilih untuk berehat atas beberapa faktor.

“Saya tidak terkecuali juga teruji daripada sudut kewangan. Saya memilih untuk fokus kepada perniagaan bersama isteri, Zahirah Zamree di bawah brand Zahiras terlebih dahulu bagi menstabilkan kewangan. Sebab itu saya berehat seketika sebelum ini.”

“Saya yakin semua penggiat seni sedar dan mungkin pernah mengalami kesukaran untuk terus berkarya atas faktor kewangan peribadi. Malah artis ternama tanah air pun, jika tiada back-up plan akan terhenti perjalanan seninya.”

 Tanpa berselindung, Areef turut memaklumkan Bulan Menghilang juga sebenarnya adalah lagu tema atau OST kepada produk terbaharu keluaran Zahiras yang akan dilancarkan pada Mac 2021 ini.

Kemenangan ANAM Bakar Semangat

Pentas Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) yang baru pertama kalinya diadakan tahun lalu ternyata berjaya mengangkat dan memperkenalkan bakat-bakat baharu dalam pentas dakwah dan nasyid. Selain Aniq Muhani, nama Areef juga sedikit sebanyak melonjak naik setelah berjaya menggondol kemenangan dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik.

“Alhamdulillah, kemenangan ANAM sebenarnya di luar jangkaan saya. Satu kejutan yang agak besar. Tapi segala kredit saya berikan kepada tim Tarbiah Sentap Records khususnya kerana berhempas pulas untuk menaikkan karya-karya saya sebelum ini khususnya lagu Sakit.

Menewaskan penggiat lain, Areef akui kemenangan tersebut menyedarkannya bahawa masih ada yang mendengar lagu-lagunya sekali gus membakar semangat untuk terus berkarya.

“Terima kasih buat semua yang masih mendengar lagu-lagu saya tak kisah yang lama atau yang baharu. Tidak wujud sesebuah lagu itu, andai tiada pendengarnya. Saya amat menghargainya,” beritahu Areef mengakhiri perbualan bersama Soofi Media. 

Ikuti perkembangan Areef di platform Instagram: @areefmusic, YouTube: Areef Music atau areefmusic.com.- SoofiMedia

WHAT'S YOUR REACTION?
+1
5
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Wanza Mohamad

Editor, penulis bebas, ghostwriter, tutor. Ikon Seni USIM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button